Make your own free website on Tripod.com


PENGENALAN


Senario fizikal di Malaysia terdiri dari dua corak visual yang berbeza iaitu landskap bandar dan landskap desa. Landskap bandar memberi fokus kepada struktur bandaran yang menggambarkan corak gunatanah yang lebih formal, tahap dan struktur ekonomi yang lebih kompleks dan tinggi serta budaya dan sosial yang pelbagai. Landskap desa pula mempamerkan ciri-ciri fizikal yang lebih bersifat semula jadi dan bercorak tradisional disebabkan oleh struktur ekonomi yang lebih mudah.

Pembangunan masakini yang secara relatifnya bertumpu di kawasan bandar dan pinggiran telah menyebabkan kawasan desa seolah-olah menjadi kurang penting di dalam agenda pembangunan negara secara keseluruhan. Ini telah sedikit sebanyak memberi persepsi yang kawasan desa terutamanya kampung-kampung tradisi ketinggalan dari segi pembangunan fizikal dan ekonomi.

TUJUAN

Garis Panduan Perancangan Kampung-kampung Di Kawasan Desa disediakan untuk tujuan:

i. Menyediakan satu garis panduan perancangan fizikal khasnya bagi kampung-kampung di desa

ii. Membantu Pihak Berkuasa Persekutuan, Pihak Berkuasa Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan serta semua pihak yang terlibat dalam perancangan dan pembangunan kawasan desa khususnya kawasan kampung

Secara keseluruhannya, garis panduan ini sesuai digunapakai bagi semua jenis kampung yang mempunyai jumlah penduduk sekitar 2,500 orang. Jumlah tadahan penduduk ini akan menjadi asas perkiraan penyediaan minimum kemudahan asas, perkhidmatan awam dan keperluan lain bagi sesebuah kampung.

LATARBELAKANG

Kepentingan kawasan desa perlu dilihat bukan sahaja sebagai kawasan pertanian atau pengeluaran makanan dan alam semula jadi tetapi juga kawasan petempatan masyarakat di luar bandar.

Dalam konteks ini, kampung-kampung merupakan petempatan penting yang menyediakan suatu persekitaran kediaman yang unik dari segi fizikal, sosio-ekonomi dan alam sekitar. Malah ia boleh dianggap sebagai satu aset yang perlu dijaga dan dibangunkan sejajar dengan arus pembangunan negara.

Walaupun negara telah mengalami arus pembangunan yang pesat pada beberapa dekad yang lalu, namun masih terdapat banyak isu dan masalah yang dihadapi oleh kampung-kampung ini seperti kekurangan kemudahan infrastruktur dan perkhidmatan masyarakat, sumber ekonomi yang terhad dan persekitaran yang tidak menarik. Masalah-masalah ini juga jika tidak ditangani dengan sebaik mungkin boleh menggagalkan usaha-usaha untuk menjadikan kawasan desa satu kawasan yang maju, menarik dan menguntungkan.

Sejajar dengan usaha tersebut, garis panduan perancangan ini disediakan untuk memastikan kawasan desa, khususnya kampung-kampung mempunyai kemudahan-kemudahan asas yang mencukupi dan sesuai, perkhidmatan masyarakat yang berkualiti serta kawasan persekitaran kediaman yang selesa dan menarik.

Garis panduan ini juga disediakan bagi melengkapkan garispanduan-garispanduan dan peraturan lain sedia ada yang dikeluarkan oleh agensi-agensi lain seperti Jabatan Pertanian, Jabatan Haiwan, Jabatan Perancangan Bandar Dan Desa, Jabatan Pengairan dan Saliran dan Jabatan Alam Sekitar dan juga dasar-dasar rancangan pemajuan.