Make your own free website on Tripod.com


PRAKATA


KAWASAN DESA



KAWASAN DESA telah lama mendapat perhatian dari pehak kerajaan iaitu sejak negara mencapai kemerdekaan lagi. Perhatian ini adalah lebih ketara pada masa kini disebabkan pelbagai perubahan yang berlaku pada beberapa dekad yang lalu. Di antara perubahan tersebut ialah perkembangan sains dan teknologi dari segi komunikasi dan teknologi maklumat serta pengaruh globalisasi masa kini.
Selaras dengan perkembangan ini, kerajaan terus memberi perhatian kepada kawasan desa supaya kemajuan desa di negara akan terus relevan dalam konteks pembangunan negara mampan secara keseluruhannya. Dalam ertikata lain, walaupun negara mengalami arus pembangunan yang pesat, namun ini tidak memberi erti sekiranya kawasan desa terus tersisih atau ketinggalan daripada arus tesebut.
Ini penting kerana Malaysia, seperti kebanyakan negara sedang membangun yang lain, majoriti penduduk yang mendiami kawasan desa adalah terdiri daripada golongan miskin. Tambahan pula kawasan desa pada keseluruhannya masih lagi menghadapi pelbagai kekurangan infrastruktur dan kemudahan asas.

Kepentingan kawasan desa perlu dilihat bukan sahaja sebagai petempatan utama bagi sebahagian besar penduduk negara ini tetapi juga sebagai satu aset dan khazanah serta warisan negara yang tidak ternilai. Juga, kawasan desa amat penting sebagai kawasan pengeluaran negara dan kawasan alam sekitar semulajadi. Justru itu, ia perlu dijaga dan dibangunkan dengan sebaik mungkin selari dengan arus pembangunan negara secara keseluruhannya.

Falsafah dan strategi pembangunan kawasan desa adalah untuk menjadikan< kawasan desa satu kawasan yang `maju, menarik dan menguntungkan’. Oleh itu, pembangunan desa perlu dirancang dengan bijak secara lebih holistik: merangkumi pelbagai dimensi seperti fizikal, sosial, ekonomi dan alam sekitar. Dari aspek fizikal dan alam sekitar misalnya, falsafah dan strategi ini tidak mungkin menjadi kenyataan sekiranya tiada usaha-usaha dijalankan untuk menyediakan satu garispanduan perancangan dan pembangunan bagi kawasan desa terutamanya bagi kawasan petempatan seperti kampung-kampung tradisi. Garispanduan yang disediakan ini adalah berdasarkan kepada pelbagai rujukan dan perbincangan dengan pelbagai pihak yang terlibat dengan pembangunan desa secara langsung atau tidak langsung.

Sehubungan itu, satu garispanduan perancangan dan pembangunan bagi kampung-kampung di kawasan desa yang mempunyai penduduk kurang daripada 2500 orang perlu disediakan bukan sahaja sebagai panduan bagi pembangunan petempatan semata-mata tetapi juga akan menjadi panduan kepada pembangunan yang lebih menyeluruh yang mengambil kira aspek fizikal, sosial, ekonomi dan alam sekitar kawasan desa masakini dan pada masa akan datang. Walaupun garispanduan ini lebih memberikan penekanan kepada aspek fizikal dan `spatial’ tetapi pembangunan kawasan desa tidak akan lengkap dan sempurna tanpa pembangunan spiritual atau insan yang menjadi teras utama kepada pembangunan desa.

Garispanduan ini disediakan sebagai `a desk top manual’ untuk kegunaan pegawai perancang, pegawai pentadbir di pelbagai pejabat dan agensi kerajaan, ahli-ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan seumpamanya. Gaya persembahannya dibuat sedemikian rupa supaya rujukan dan pemahaman terhadapnya dapat dibuat dengan lebih mudah, berkesan dan mesra pengguna.

Garispanduan ini juga boleh dianggap sebagai satu set peraturan, tatacara dan prosidur perancangan. Tetapi dalam suasana persekitan yang sering berubah mengikut peredaran masa, perubahan citarasa, teknologi dan tren, kemungkinan garispanduan ini akan mengalami proses pembaikan dan tambahan dari masa ke semasa, dan dengan itu garispanduan ini perlu disesuaikan dengan keadaan semasa. Prinsip utama rekabentuk bagi garispanduan ini ialah kepekaan terhadap ciri-ciri dan konteks tempatan semasa. Pendekatan garispuandan ini ialah untuk menzahirkan hal-hal tidak pasti dan membantu dalam membuat keputusan yang lebih jelas dan tepat.

Garispanduan ini bersifat dayalentur dan saling memperlengkapi satu sama lain.
1. Ianya boleh digunakan untuk setiap kategori kampung di desa di negara ini, walaupun ianya tidak dapat mewujudkan identiti tersendiri;
2. Di mana sesuai, garispanduan dan piawaian yang telah diterima dan diwartakan sebelum ini dianggap masih boleh digunapakai;
3. Ianya boleh digunakan untuk menilai cadangan pembangunan secara individu atau menyeluruh; dan
4. Boleh digunakan sebagai panduan untuk mewujudkan persekitaran kampung di desa yang ceria, bersih dan teratur.

Garispanduan ini dikelolakan mengikut 3 bahagian utama, iaitu:

• Prinsip Asas: Bahagian ini mengemukakan konteks dan perkara-perkara asas pembentukan garispanduan dan piawaian, seperti dalam Bab 1 dan 4;

Senarai Semakan Garispanduan dan Piawaian: Bahagian ini merupakan intipati kajian ini dan mengemukakan garispanduan dan piawaian setiap aspek seperti fizikal dan `spatial’, persekitaran, ekonomi dan sosial satu persatu secara terperinci, dan dilengkapi dengan lakaran untuk memudahkan pemahaman, seperti terkandung di dalam Bab 5; dan

Realisasi Perlaksanaan: Bahagian ini menyentuh perihal cara bagaimana garispanduan ini boleh dilaksanakan dengan jaya dan berkesan serta melibatkan jawatankuasa di peringkat kampung yang boleh mengawalselia pembangunan kampung secara keseluruhan, sepertimana di dalam Bab 6.

Diharapkan garispanduan ini akan dapat mencetuskan idea dan merangsang kepada perbahasan selanjutnya mengenai bidang ini. Satu garispanduan yang lebih sempurna, praktikal dan berdayalaksana akan menjadi kenyataan apabila kita secara kolektif memberi perhatian yang sewajarnya.