Make your own free website on Tripod.com


CORAK PETEMPATAN KAMPUNG


Perumahan Berpusat
Petempatan kampung di kawasan desa merupakan kawasan yang terkecil sekali dalam konteks hierarki petempatan di negara ini. Corak petempatan kampung-kampung ini pada umumnya Berbentuk berkelompok - berpusat (nucleated / concentrated), berjajar (linear) dan berselerak (dispersed), terletak sama ada di tanah rata, tanah tinggi, lereng-lereng bukit, di atas sungai atau tasik dan di sepanjang jalan. Terdapat kampung terpencil yang terletak di kawasan pendalaman seperti kampung-kampung orang asli.
Perumahan Berjajar
Perumahan Berselerak
Terdapat beberapa elemen yang perlu dipertimbangkan dalam mendefinisikan
petempatan kampung mengikut jenis iaitu : i. Komposisi Penduduk dan kumpulan etnik
ii. Asas Ekonomi dan Pekerjaan
iii. Corak petempatan
iv. Ciri-ciri fizikal dan lokasi
v. Fungsi (jika ada)
Jenis-jenis petempatan kampung yang biasa terdapat di negara ini ialah seperti berikut :


Kampung Tradisional
Kampung tradisi merupakan sebuah petempatan kampung yang wujud secara tidak dirancang atau organik. Kampung tradisi di bandar menampung bilangan penduduk yang tinggi yang majoritinya terlibat dengan aktiviti bandaran dan mempunyai keadaan fizikal yang kurang teratur dan seringkali mempamerkan keadaan yang sesak (slum).

Kampung tradisi di desa pula menampung penduduk di tahap densiti rendah dan seimbang. Taburan petempatan kampung tradisi dipengaruhi oleh aktiviti ekonomi setempat seperti pertanian, pelombongan dan sebagainya.

Corak kampung tradisi ini adalah samada berjajar ataupun berkelompok. Kampung tradisi juga boleh terdapat di pulau-pulau. Majoriti penduduk di kampung tradisi adalah terdiri daripada kaum Melayu dan Cina. Contoh kampung tradisi ialah kampung Kundang di Kuala Langat, Selangor.

Wujud secara tidak dirancang atau organik Kampung tradisi bandaran - densiti yang tinggi Kampung tradisi desa - densiti yang rendah Corak petempatan – berjajar atau berkelompok Teridii daripada masyarakat Melayu dan Cina

Kampung Nelayan
Kampung nelayan merupakan sebuah petempatan kampung yang terletak samada di kuala atau sepanjang sungai, di tepi-tepi pantai dan juga di pulau-pulau. Majoriti penduduk di kawasan tersebut adalah kaum Melayu yang menyara hidup dengan menangkap ikan dan aktiviti yang berasaskan hasil laut dan sungai. Di samping itu, aktiviti sampingan penduduk membuat perahu dan sebagainya. Contoh kampung nelayan ialah kampung Tanjung Api di Kuantan. Corak fizikal perkampungan nelayan dipengaruhi oleh rupabumi tempatan seperti sungai, muara, pantai dan sebagainya dan lazimnya adalah padat.

Kampung Tersusun
Kampung tersusun adalah kampung yang dirancang berasaskan beberapa sebab seperti penempatan semula kampung, pemberian tanah dan bencana alam. Kampung ini lazimnya berdensiti rendah dan sederhana dan penduduknya terlibat dalam pelbagai aktiviti ekonomi samada bandaran mahupun pertanian. Contoh kampung tersusun ialah Kampung Maju Rapat di Ipoh.

Kampung Atas Air
Kampung jenis ini merupakan kampung-kampung yang terletak di atas air sama ada di sungai, tasik atau laut dan rumah-rumah dibina secara bertiang di atas air. Kebiasaannya, rumah-rumah ini dihubungi antara satu dengan yang lain oleh jeti atau jambatan kayu. Kampung ini lazimnya berdensiti rendah atau sederhana dan mempunyai corak petempatan yang padat. Penduduknya adalah kaum Melayu dan Cina.

Asas ekonomi utama penduduk kampung atas air adalah perikanan dan mengusahakan hasil-hasil sungai dan laut. Di samping itu, aktiviti sampingan penduduk termasuklah membuat perahu dan lain-lain. Contohnya ialah Kampung nelayan di Semporna, Sabah.

Kampung Orang Asli
Kampung Orang Asli merupakan petempatan orang asli yang wujud secara tidak terancang yang mempunyai identiti tersendiri. Kebiasaanya petempatan orang asli adalah jauh di kawasan pedalaman yang sukar dihubungi oleh sistem pengangkutan. Lazimnya, kampung ini terletak di kawasan yang berdekatan dengan sungai-sungai.

Corak petempatan adalah berselerak mengikut suku kaum dan terdapat juga penduduk orang asli yang hidup secara berpindah randah. Ini menyebabkan petempatan tidak statik pada sesuatu kawasan sahaja dan menyukarkan orang asli membentuk corak petempatan yang jelas. Aktiviti pekerjaan seharian adalah untuk sara diri sahaja seperti pertanian, mencari hasil hutan, memburu dan menangkap ikan. Contoh kampung orang asli ialah Kampung Sungai Dala di Gerik.

Kampung Felda
Kampung Felda merupakan petempatan kampung terancang berikutan dari pembangunan tanah secara besar-besaran. Majoriti penduduk yang terdapat di Kampung Felda adalah kaum Melayu yang diberi tanah untuk mengusahakan tanaman ladang seperti kelapa sawit dan getah.

Terdapat juga penduduk yang menjalankan aktiviti perniagaan di kalangan penduduk di samping mengusahakan aktiviti pertanian utama. Konsep asas adalah untuk mewujudkan suatu petempatan yang ‘self-contained’ bertujuan untuk membasmi kemiskinan dan memberi hakmilik tanah di kalangan penduduk di kawasan desa.

Corak petempatan kebiasaannya berbentuk berpusat (concentrated) atau berkelompok dan mempunyai kepadatan penduduk sederhana tinggi. Contoh perkampungan Felda ialah Felda Sungai Sayong di Kulai Johor

Kampung Baru
Kampung Baru merupakan petempatan kampung yang wujud pada masa darurat (1948-1960) bagi mengatasi masalah ancaman pihak komunis. Usaha menempatkan semula penduduk ini diperkenalkan oleh salah seorang pegawai Inggeris dan dinamakan Rancangan Briggs.

Petempatan ini kekal sehingga ke hari ini di mana kebanyakan penduduk yang tinggal sekarang adalah di kalangan kaum Cina. Petempatan ini terletak di ladang-ladang getah, kawasan perlombongan bijih timah dan di sekitar bandar-bandar sedia ada. Corak petempatan adalah berpusat dan berbentuk `grid iron’ yang asalnya berpagar bagi tujuan keselamatan. Walau bagaimanapun, keadaan berpagar ini telah dihapuskan dan keadaan perkampungan barusekarang tidak berbeza dari kampung tradisi lain, kecuali ianya lebih teratur (formal). Contoh Kampung Baru ialah Kampung Jinjang

Kampung Setinggan
Kampung Setinggan merupakan satu petempatan di bandar atau pinggir bandar yang penghuninya tidak mempunyai hak nyata ke atas pemilikan. Aktiviti penduduk di Kampung Setinggan adalah terdiri daripada peniaga, kakitangan awam dan swasta dan sebagainya. Penduduk di kampung setinggan adalah terdiri daripada pelbagai kaum.

Walau bagaimanapun, disebabkan keperluan terhadap buruh asing yang mendesak, penduduk yang mendiami kawasan setinggan adalah pendatang asing yang kebanyakannya bekerja sebagai buruh binaan dan buruh di kawasan lperladangan. Kepadatan penduduk di kawasan ini adalah sederhana dan rumah didirikan secara rapat-rapat. Tiada susunan yang jelas ke atas corak petempatan kawasan setinggan ini, rumah-rumah dihubungi dengan lorong-lorong kecil sahaja. Perkampungan setinggan pada lazimnya tidak mempunyai kemudahan asas dan utiliti yang sempurna, sebaliknya menggunakan kemudahan-kemudahan di kawasan berdekatan atau jika ada pun ianya dikongsi bersama. Contoh kampung ini ialah Kampung Abdullah Hukum, di bahagian barat pusat bandaraya Kuala Lumpur.

Perumahan Estet
Perumahan Ladang adalah rumah-rumah pekerja ladang yang disediakan oleh majikan pengurusan ladang. Bercorakan kelompok dan kebiasaannya ladang mempunyai bekalan asas. Majoriti daripada penduduk di kawasan ini adalah terdiri daripada kaum India. Aktiviti utama adalah sebagai peladang kelapa sawit dan getah. Contoh Kampung Ladang ialah kampung ladang di Nova Scotia di Telok Intan, Perak.