Make your own free website on Tripod.com


DASAR DAN FALSAFAH PEMBANGUNAN LUAR BANDAR

Pada tahun 1996 kerajaan telah membuat penilaian ke atas sektor luar bandar dan mengkaji semula strategi dan falsafah pembangunan luar bandar dengan tujuan untuk membawa masyarakat luar bandar yang masih ketinggalan di kampung-kampung ke dalam arus pembangunan perdana dan meningkatkan kualiti penghidupan mereka. Matlamatnya untuk memastikan strategi-strategi pembangunan luar bandar masih relevan dan sejajar dengan matlamat Wawasan 2020.

Strategi baru pembangunan luar bandar adalah berdasarkan konsep pembangunan in-situ dan diasaskan dari kejayaan strategi terdahulu yang memberi tumpuan kepada pembangunan infrastuktur dan ekonomi. Strategi baru akan memberi penekanan yang sama ke atas pembangunan sumber manusia dan juga pembangunan ekonomi serta menaikkan taraf kemudahan-kemudahan infrastuktur. Falsafah baru pembangunan luar bandar menekankan keutamaan ‘empowerment’ masyarakat luar bandar, membolehkannya bersifat dinamik dan mampan, berupaya menghadapi cabaran-cabaran masa hadapan dan mencapai status ekonomi yang setaraf dengan peringkat nasional.

Falsafah pembangunan luar bandar yang disediakan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar memberi penekanan kepada tujuh inisiatif berikut:

i. Untuk membangunkan individu yang cemerlang dan penekanan kepada pengubahan minda (sikap) penduduk luar bandar supaya mempunyai kepercayaan diri dan semangat ingin berdikari.
ii. Untuk mengukuhkan unit keluarga sebagai institusi yang sejahtera.
iii. Untuk membangunkan masyarakat luar bandar yang beridentiti dan berdaya tahan dengan tujuan mewujudkan satu komuniti yang berupaya menjalankan pelbagai kegiatan ekonomi.
iv. Untuk menyediakan infrastruktur yang berkualiti yang dapat menampung pembangunan ekonomi masa kini di kawasan luar bandar.
v. Untuk membangunkan ekonomi luar bandar yang mampan melalui pengurusan pertanian komersial dan pelbagaian asas ekonomi.
vi. Untuk menyediakan sistem penyampaian yang berkesan yang berfaedah kepada golongan sasaran.
vii. Untuk mewujudkan rangka kerja institusi (net working) yang responsif kepada perubahan dan membantu penyertaan masyarakat setempat yang aktif dalam program-program dan projek-projek luar bandar.

Matlamat falsafah dan strategi pembangunan desa yang dicadangkan oleh KPLB dalam Transformasi Ke Dua ialah untuk menjadikan kawasan luar bandar “kawasan desa yang maju, menarik dan menguntungkan”.

Maju
• Menentukan kemudahan awam yang berpotensi dan kritikal dibangunkan sebagai pemangkin pembangunan.
• Mempastikan kemudahan pendidikan dan kemahiran diwujudkan bersesuaian dengan kehendak penduduk.
• Menyediakan sistem perhubungan yang cekap untuk kemajuan pembangunan desa.

Menarik
• Menyediakan pelan konsep dan susunatur bersesuaian dengan keadaan setempat supaya mudah dilaksana dan dimajukan.
• Mengekalkan identiti dan ciri desa.
• Menggunakan sumber semulajadi atau keistimewaan setempat dalam usaha pembangunannya daripada segi fizikal mahupun ekonomi.

Menguntungkan
• Memperkukuh dan mempelbagaikan asas ekonomi desa.
• Mempertingkatkan kemudahan infrastruktur desa dengan cadangan piawaian yang sesuai untuk mengelakkan kos pembangunan yang tinggi.
• Mempertingkatkan khidmat pengembangan jabatan-jabatan teknikal berkaitan dengan aktiviti desa.

Visi Luar Bandar
Visi luar bandar pada tahun 2020 dihasilkan daripada analisis ke atas senario desa sedia ada, kemajuan pembangunan ekonomi, tren perbandaran, cabaran-cabaran Wawasan 2020 dan falsafah dan strategi pembangunan luar bandar.